116 Peniaga Mulakan Operasi Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang
SIBU: Seramai 116 peniaga Bazar Ramadan di Dataran Tun Tuanku Bujang mula beroperasi pada Rabu, sehari sebelum umat Islam di bandar ini menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi hadir mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee merasmikan bazar berkenaan serta menyerahkan apron kepada semua peniaga.
Bercakap kepada pemberita, Sayed Azmee menekankan bahawa aspek kebersihan perlu diberi perhatian serius oleh semua peniaga sepanjang tempoh operasi, khususnya dalam penyediaan makanan dan minuman bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pengguna sentiasa terjamin.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau tahap kebersihan serta memastikan pematuhan terhadap semua peraturan oleh para penjaja sepanjang tempoh penganjuran bazar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga turut memaklumkan penganjuran bazar ramadan tahun ini ditambah baik dengan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai menerusi kod QR serta diserikan dengan penganjuran pertandingan lampu gerai.
Selain itu katanya, jawatankuasa penganjur turut menyediakan satu kod QR khas di lokasi bazar bagi membolehkan pengunjung menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas secara terus.
“Jawatankuasa akan mengambil tindakan segera dan berhubung terus dengan pihak KKM sekiranya melibatkan isu kebersihan atau perkara yang memerlukan tindakan lanjut," tegasnya.-EDISI UKAS