Projek Feri RM4.5 Juta & Jalan Baharu Pacu Pembangunan DUN Ngemah
NGEMAH: Pelaksanaan projek infrastruktur termasuk perkhidmatan feri bernilai RM4.5 juta serta pembinaan jalan baharu terus menjadi pemangkin pembangunan dan kesejahteraan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, kemudahan feri yang dilaksanakan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya dalam aspek perhubungan dan aktiviti ekonomi harian.
“Perkhidmatan feri ini telah membantu memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan akses antara kawasan, sekali gus menyokong kelangsungan aktiviti ekonomi masyarakat di Ngemah.
“Usaha ini selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan kemudahan asas yang disediakan benar-benar memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya semasa Program Ngabang Tahun Baru Cina di sini pada Rabu.
Anyi menambah, satu lagi projek pembangunan iaitu pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer di Simpang Nanga Jagau akan dilaksanakan dalam masa terdekat di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA).
“Projek jalan ini dijangka meningkatkan kebolehcapaian kawasan serta memudahkan urusan harian penduduk, sekali gus menyokong pembangunan berperingkat di Ngemah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penganjuran program kemasyarakatan seperti Ngabang Tahun Baru Cina amat penting dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.
“Program sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama antara pemimpin dan rakyat dalam suasana harmoni,” katanya lagi.
Dalam program berkenaan, Anyi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi pembelian sistem pembesar suara.-EDISI UKAS