Ziarah Tahun Baharu Cina Eratkan Perpaduan Di DUN Opar
LUNDU: Semangat muhibah Tahun Baharu Cina terus diraikan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang turun padang mengadakan Program Ziarah Tahun Baharu Cina di sekitar Daerah Lundu pada Rabu.
Dalam program tersebut, beliau menziarahi beberapa kediaman Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, selain memperkukuh hubungan kepimpinan bersama komuniti setempat.
Antara lokasi ziarah ialah Kampung Bagak, Kampung Sekambal Cina, Kampung Perigi dan Kampung Sedaing.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh penduduk kampung yang mengambil peluang untuk beramah mesra serta berkongsi perkembangan semasa termasuk isu pembangunan, kebajikan dan keperluan setempat.
Pada kesempatan itu, Billy turut menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina serta berharap agar sambutan tahun ini membawa kemakmuran, kesihatan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat, khususnya di kawasan DUN Opar.-EDISI UKAS