Tradisi Kunjungan Semarakkan Perpaduan Di Simanggang
SRI AMAN: Semangat Tahun Baharu Cina terus diraikan dalam suasana penuh muhibah apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis mengadakan siri ziarah ke Pantu dan Sri Aman sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Pada hari pertama sambutan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memulakan kunjungan lewat petang dengan menziarahi kediaman keluarga Phang Hoi Phin atau lebih dikenali sebagai Manang Kupak di Rapak, Pantu.
Beliau meneruskan ziarah ke kediaman Penghulu Lee Thong Sen di Pasar Lachau, Pantu sebelum mengakhiri aktiviti hari pertama dengan menghadiri Majlis Makan Malam Keluarga Tahun Baharu Cina di kediamannya di Jalan Tini, Bandar Simanggang.
Memasuki hari kedua, beliau bersama rombongan menghadiri Program Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 di kediaman Kapitan Kiew Sii Ted di Lorong 1, Jalan Pasir, Bandar Simanggang.
Siri ziarah diteruskan ke kediaman Kapitan Kang Tai Hing, Penghulu Kang Tai Kong dan Ling Yu Kong di kawasan Pasir Panas sebelum berkunjung ke kediaman Datuk Tan Chong Meng di Jalan Main Bazaar.
Beliau turut menziarahi kediaman Kaunselor Wong Yii Hong di Kampung Kejatau sebelum menamatkan kunjungan di kediaman Kapitan Chin Chong Miaw di Pasar Sabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah memperkukuh semangat muhibah dalam kalangan penduduk berbilang kaum di kawasan Sri Aman.
“Perayaan Tahun Baharu Cina bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga memperkukuh semangat muhibah dalam kalangan penduduk berbilang kaum di kawasan Sri Aman.
"Tradisi kunjungan seperti ini turut melambangkan keharmonian yang kita nikmati secara bersama dan seterusnya menjadi asas kepada pembangunan komuniti yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda agar terus memelihara nilai perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri ini.–EDISI UKAS