Abdul Yakub Rai Saudara Kita Berbangsa Tionghua Sempena Tahun Baharu Cina
MUKAH: Masjid Setia Raja Mukah dengan kerjasama pimpinan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Urusetia Saudara Kita Bahagian Mukah menganjurkan Majlis Meraikan Saudara Kita Berbangsa Tionghua sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Tahun 2026.
Majlis julung kali diadakan di Kingwood Resort Mukah pada Rabu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi serta isteri, Abby Aisya Kho.
Abdul Yakub turut menyempurnakan acara Yee Sang bersama tetamu yang hadir sebagai simbolik sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Setia Raja Mukah, Jaafar Zaini, penganjuran majlis itu merupakan julung kali diadakan.
"Objektifnya adalah untuk mengenali rapat kalangan saudara muslim kita yang berbangsa Tionghua.
"Selain itu, melibatkan diri mereka dengan aktiviti Islam dengan lebih kerap serta mengelak rasa terpinggir dalam kalangan mereka," katanya.
Jaafar memberitahu, pihaknya cuba mengenal pasti bilangan saudara kita yang berbangsa Tionghua di kawasan Mukah dan Balingian.
Katanya, sasaran pada kali ini hanya 60 orang yang terlibat.
"Kami berharap agar lebih ramai saudara kita yang berbangsa Tionghua disantuni, tidak terpinggir malah dibantu memantapkan akidah, ibadah dan jiwa Islam," tambah Jaafar.
Di samping itu, turut diadakan Program bual bicara bertajuk 'Podcast Bersama Ustaz Wahab Salahuddin Ling dari Bahagian Halal, JAIS Kuching sebagai penceramah jemputan dan Ustazah Rafidah Samad dari Hidayah Centre Cawangan Sibu sebagai moderator.
Sebelum majlis berakhir, Abdul Yakub turut menyampaikan angpau kepada tetamu yang hadir. - EDISI UKAS