Sarawak Sasar Bina Pusat Prestasi Tinggi Sukan Dalam Tempoh Tiga Tahun
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan pembinaan sebuah Pusat Prestasi Tinggi (High-Performance Centre) sukan di negeri ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memperkukuh pembangunan atlet berasaskan sains sukan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pusat berkenaan amat diperlukan bagi memastikan latihan atlet tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata, sebaliknya disokong pendekatan saintifik yang menyeluruh.
Menurut beliau, peranan sains sukan meliputi aspek pemakanan, tumpuan terhadap bahagian tubuh tertentu, persediaan mental serta penyesuaian fisiologi mengikut keperluan pertandingan.
“Sudah berlalu zaman atlet kita hanya berlatih siang dan malam tanpa sokongan sains sukan. Pusat prestasi tinggi inilah yang akan memainkan peranan penting dengan dikendalikan pakar dan saintis sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelepasan D’Drift 2026: Tracing Stories Along the Coastal Road di sini pada Rabu.
Dato Sri Abdul Karim turut memaklumkan, tapak bagi pembinaan pusat tersebut telah dikenal pasti dalam kawasan Kompleks Sukan Sarawak yang kini merupakan antara kompleks sukan terbesar di Malaysia dalam satu lokasi berpusat.
“Ya, kita akan bina di Sarawak. Itu satu kemestian. Tapaknya sudah dikenal pasti dan saya berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, kawasan kompleks berkenaan meliputi kira-kira 67 hingga 68 ekar merangkumi dua lot tanah, termasuk perancangan pembinaan velodrom serta penambahan kemudahan lain seperti penaiktarafan lapang sasar menembak.
Bagi melaksanakannya, beliau menjelaskan, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara bagi menjadikan projek tersebut sebagai usaha kolaboratif.
“Kita mahu ia diurus secara bersama kerana atlet yang lahir daripada pusat ini bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi untuk Malaysia. Tidak wajar Sarawak menanggung keseluruhan kos,” katanya.
Tegas beliau, pembangunan pusat prestasi tinggi itu penting bagi memastikan kemudahan sukan sedia ada tidak sekadar menjadi infrastruktur fizikal tanpa impak maksimum terhadap prestasi atlet.
“Kita tidak mahu kompleks sukan yang besar tetapi ‘tidur’. Tanpa pusat prestasi tinggi, latihan akan kembali kepada cara lama dan potensi sebenar tidak dapat dimaksimumkan,” ujarnya.
Dengan sokongan kepimpinan negeri termasuk Premier Sarawak, beliau optimis projek berkenaan mampu direalisasikan demi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.- EDISI UKAS