ADUN Daro Santuni Masyarakat Sempena Tahun Baharu Cina
DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, mengadakan kunjungan ziarah ke rumah sahabat handai serta masyarakat setempat di sekitar Tanah Besar Daro sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, pada Selasa.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Daro itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari dan dihadiri kira-kira 50 penduduk pelbagai kaum dalam suasana penuh muhibbah dan kekeluargaan.
Kunjungan berkenaan disambut mesra oleh komuniti setempat, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di kawasan tersebut.
Menurut Safiee, lawatan sempena perayaan itu bukan sekadar menyampaikan ucapan, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira agama serta latar belakang bangsa.
“Perayaan seperti ini memberi ruang kepada kita untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” dan “Xin Nian Kuai Le” kepada masyarakat Tionghua yang meraikan Tahun Baharu Cina tahun ini, selain mendoakan agar sambutan tersebut membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kesihatan berpanjangan.
Program ziarah itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan setempat dalam memupuk keharmonian dan memperkukuh perpaduan komuniti demi kesejahteraan rakyat di Daro.- EDISI UKAS