DARO: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengadakan kunjungan mesra ke kediaman masyarakat Tionghua di Pekan Daro sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Igan pada Selasa yang dihadiri kira-kira 50 penduduk setempat itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti dalam suasana penuh muhibah.
Dalam kunjungan tersebut, beliau meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk selain menyampaikan ucapan “Gong Xi Fa Cai” kepada masyarakat Tionghua yang meraikan perayaan berkenaan, khususnya di kawasan Parlimen Igan.
Menurut Ahmad Johnie, amalan kunjung-mengunjung sempena perayaan pelbagai kaum merupakan tradisi penting yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.
“Perayaan seperti ini bukan sahaja diraikan sebagai tradisi kebudayaan, malah menjadi wadah menyemai semangat kebersamaan, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh komuniti setempat serta berharap sambutan Tahun Baharu Cina kali ini membawa kesejahteraan, kebahagiaan dan kemakmuran berterusan kepada seluruh rakyat.
Kunjungan itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan Parlimen Igan dalam memastikan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat terus diperkasa, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif dan kesejahteraan bersama.- EDISI UKAS