Lebih 2,000 Hadir Rumah Terbuka Datuk Michael Tiang, Kongsi Kemajuan Projek Infrastruktur Sibu
SIBU: Lebih 2,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, yang berlangsung di Pusat Komersial Uni-City, Jalan Wawasan, pada Rabu.
Datuk Michael Tiang berkata, penganjuran di Uni-City merupakan kali pertama diadakan di lokasi berkenaan dan sambutan diterima amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sibu.
“Pada pagi ini sahaja, lebih 2,000 pengunjung hadir. Saya mengucapkan Selamat Tahun Kuda kepada semua dan mendoakan kesihatan, kekuatan serta kemakmuran berterusan,” katanya kepada pemberita.
Selain meraikan perayaan, beliau turut berkongsi perkembangan projek pembangunan utama di kawasan Pelawan yang disifatkan selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
Antara projek tumpuan ialah pelebaran Jalan Ulu Sungai Merah kepada laluan berkembar yang dijadualkan siap sepenuhnya pada Mei ini.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka meningkatkan kelancaran trafik serta keselesaan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.
Beliau turut memaklumkan kerja-kerja naik taraf Jalan Ling Kai Cheng telah siap sepenuhnya, manakala beberapa langkah penambahbaikan sedang dirancang di kawasan Sungai Merah termasuk di sepanjang Jalan Teng Chin Hua, susulan maklum balas gereja dan sekolah berhampiran.
“Langkah tersebut merangkumi reka bentuk semula persimpangan serta pelarasan titik akses bagi menambah baik aliran trafik dan meningkatkan keselamatan, khususnya untuk pelajar SMK Bandar Sibu,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa pelaksanaan projek berkait dengan pilihan raya negeri akan datang, beliau menegaskan usaha pembangunan dilaksanakan secara berterusan sejak awal penggal perkhidmatannya.
“Saya tidak pernah berhenti bekerja sejak hari pertama dipilih. Tempoh lima tahun adalah singkat dan sepanjang itu, kami terus merancang serta melaksanakan pembangunan demi kemajuan Sibu,” katanya.
Beliau berharap rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara dapat melihat perubahan positif di kampung halaman mereka serta terus menyalurkan pandangan bagi membantu merangka perancangan pembangunan masa depan.- EDISI UKAS