Budaya Berkunjung Perkukuh Kestabilan Sosial, Pembangunan Inklusif Di Sarawak
SPAOH: Amalan kunjung-mengunjung sempena perayaan utama pelbagai kaum merupakan tradisi tahunan yang menjadi asas keharmonian masyarakat Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sambutan perayaan bukan sahaja diraikan oleh sesuatu kaum, sebaliknya menjadi milik bersama seluruh rakyat Sarawak dan platform penting untuk memupuk semangat kekitaan.
“Apabila ada perayaan sama ada Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak ataupun Hari Raya, kita akan saling berkunjungan sebagai cara mengukuhkan kerjasama, persefahaman dan hubungan yang erat.
“Pada masa sama, kita juga mendapatkan maklum balas mengenai keadaan serta memahami keperluan kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui media semasa mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke beberapa kediaman ketua masyarakat dan komuniti Cina di sekitar Pekan Spaoh, pada Rabu.
Kunjungan tersebut katanya mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Spaoh, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kestabilan sosial dan pembangunan inklusif di Sarawak.
Beliau turut menyampaikan ucapan “Gong Xi Fa Cai” dan “Xin Nian Kuai Le” kepada masyarakat Cina yang meraikan Tahun Baharu Cina, dengan harapan tahun baharu membawa lebih kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Kunjungan anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Saban itu berlangsung dari jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang dan melibatkan lawatan ke enam kediaman, termasuk rumah Pemanca Goh Leng Thong, Kaunselor Lai Ngit Shin dan Kapitan Jong Koi Chian.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Bukit Saban hadir bersama isteri, Datin Amar Datuk Doreen Mayang.
Turut serta Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu, serta beberapa pemimpin dan pegawai tempatan. - EDISI UKAS