Ziarah TBC Tanjong Datu Perkukuh Jalinan Kepimpinan-Komuniti
LUNDU: Tradisi ziarah sempena Tahun Baharu Cina (TBC) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu membuktikan bahawa amalan tersebut bukan sekadar adat perayaan, malah menjadi wadah strategik memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, tradisi ziarah yang diamalkan setiap kali musim perayaan berfungsi sebagai platform interaksi langsung antara wakil rakyat dan penduduk.
“Ziarah bukan sekadar memenuhi tuntutan budaya, tetapi menjadi ruang untuk mendengar sendiri suara rakyat, memahami keperluan komuniti serta memperkukuh jalinan kepercayaan antara kepimpinan dan masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kesinambungan amalan sedemikian mencerminkan kematangan sosial rakyat Sarawak yang menjadikan nilai hormat-menghormati dan kebersamaan sebagai asas keharmonian negeri.
Program Ziarah Tahun Baharu Cina N3 Tanjong Datu 2026 menyerlahkan keunikan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak yang terjalin kukuh merentasi kaum dan latar belakang.
Program tahunan itu menyaksikan kunjungan ke lima kediaman tokoh masyarakat Cina tempatan, termasuk Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tanjong Datu, Goh Chin Seng.
Turut diziarahi ialah Pemanca Chin Kian Ming, Penghulu Khiew Nam Fa, Kapitan Bong Chai Chin dan Kapitan Jee Hiong Chiew, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi kepimpinan masyarakat dalam memelihara perpaduan di peringkat akar umbi.
Hadir sama memeriahkan program ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri, mantan ADUN Tanjong Datu Datuk Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS