ADUN Bukit Begunan Raikan Tahun Baharu Cina Bersama Rakyat
BUKIT BEGUNAN: Semangat muhibah dan perpaduan terus dizahirkan di DUN Bukit Begunan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menyantuni masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau bersama rombongan telah mengadakan lawatan mesra ke beberapa kediaman keluarga di Bangkong, Entulang Bungkang, Entulang Jambatan dan Entulang Engkalat dan kehadiran beliau disambut penuh mesra dalam suasana perayaan yang ceria dan harmoni.
Sepanjang kunjungan tersebut, Datuk Mong meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar serta menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada keluarga yang diziarahi.
Menurut beliau, sambutan perayaan pelbagai kaum di Sarawak bukan sekadar tradisi kebudayaan, malah menjadi wahana penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim, mempererat persefahaman serta menyemai nilai hormat-menghormati antara komuniti.
Lawatan bersempena musim perayaan ini mencerminkan komitmen berterusan beliau untuk terus mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan aspirasi memperkukuh perpaduan serta keharmonian di kawasan DUN Bukit Begunan.–EDISI UKAS