PPRMS: 908 Rumah Dibaik Pulih Di Daro, Libatkan Dana RM6.5 Juta
DARO: Sebanyak 908 buah rumah berjaya dibaik pulih menerusi pelaksanaan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) Daro sejak tahun 2018 melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM6.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Menurut beliau, penyediaan kediaman yang selamat dan kondusif merupakan asas penting dalam menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke empat buah rumah penerima di bawah MRP-PPRMS Daro Fasa 4/2025 di Kampung Nangar Besar dan Kampung Pangtray, pada Rabu.
Tambah beliau, setiap rumah yang dibaik pulih bukan sekadar melibatkan pembaikan struktur fizikal, malah memberi sinar harapan dan motivasi baharu kepada penerima untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar agar masyarakat di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.-EDISI UKAS