DARO: Komitmen memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam melaksanakan tuntutan fardhu kifayah terus diperkasa apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Keperluan Peralatan Fardhu Kifayah kepada sembilan kampung.
Program yang berlangsung di Masjid Al-Muhsiniin Daro itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Fardhu Kifayah Masjid Al-Muhsiniin sebagai usaha berterusan memperkasa peranan masyarakat dalam pengurusan jenazah secara lebih teratur, sistematik dan berlandaskan tuntutan syarak.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penyediaan peralatan fardhu kifayah merupakan satu keperluan asas yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya di peringkat kampung.
Menurut beliau, kesiapsiagaan dari segi kelengkapan dan kemahiran akan memastikan setiap urusan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan cepat, sempurna dan penuh penghormatan.
“Fardhu kifayah adalah tanggungjawab bersama. Apabila sesebuah komuniti mempunyai peralatan yang mencukupi serta individu yang berkemahiran, ia mencerminkan kekuatan dan kesatuan masyarakat Islam yang saling membantu serta prihatin antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak yang menitikberatkan pembangunan seimbang meliputi aspek fizikal, sosial dan kerohanian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Jawatankuasa Fardhu Kifayah agar terus merancang dan melaksanakan program berimpak seperti Kursus Asas Memandikan Jenazah serta latihan pengurusan jenazah secara berkala bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan keyakinan masyarakat.-EDISI UKAS