Naik Taraf Tebingan Sungai Bintangor Antara Projek Mega Rancakkan Pembangunan Meradong
BINTANGOR: Projek menaik taraf Tebingan Sungai Bintangor bernilai RM35 juta merupakan antara inisiatif pembangunan utama yang bakal merancakkan lagi kemajuan Daerah Meradong dalam tempoh terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) itu dijangka ditender pada pertengahan tahun ini dan akan membuka lembaran baharu pembangunan di Bintangor serta kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, beberapa projek lain juga telah siap dilaksanakan termasuk menaik taraf prasarana Taman Rekreasi Bintangor bernilai RM4 juta, Kompleks Sukan Bintangor (RM3.5 juta) serta pontoon Bintangor (RM3 juta).
“Kesemua projek ini dirancang secara menyeluruh bagi meningkatkan kemudahan awam, memperkukuh infrastruktur serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di sekitar Meradong, pada Rabu.
Tambah beliau, sebuah dewan serbaguna dua tingkat bernilai RM18 juta turut dirancang bagi memenuhi keperluan aktiviti komuniti dan penganjuran acara berskala besar di kawasan Bintangor.
Selain itu, perancangan pembangunan turut merangkumi pembinaan laluan alternatif dari Jalan Kilang ke Jalan Janting dengan kos RM8 juta, pembinaan paip utama dari Jalan Kelupu ke Stesen Penggalak Tulai (RM10 juta) serta naik taraf sistem retikulasi Bandar Bintangor melibatkan peruntukan RM25 juta.-EDISI UKAS