Kunjungan Muhibah Perkukuh Perpaduan, ADUN Mulu Santuni Komuniti di Marudi
MARUDI: Sambutan perayaan yang diraikan secara bersama merupakan wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta memupuk semangat saling menghormati yang menjadi asas kekuatan Sarawak sejak sekian lama.
Demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala ketika mengadakan kunjungan muhibah ke beberapa rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina di sekitar daerah Marudi pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menambah, program seumpamanya bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat, malah menjadi platform mendekatkan pemimpin dengan rakyat bagi memahami keperluan serta aspirasi komuniti setempat.
Kunjungan tersebut diadakan bagi bersama-sama meraikan dan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026, di samping mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Dalam kunjungan berkenaan, beliau bersama rombongan berkesempatan menziarahi rumah Ketua Masyarakat serta Ketua-Ketua Kaum di kawasan Puyut Lubuk Nibung, selain turut mengadakan kunjungan ke beberapa rumah Pengerusi Persatuan di kawasan tersebut. -EDISI UKAS