Sarawak Optimis Capai 5 Juta Ketibaan Pelancong Tahun Ini
KUCHING: Sarawak berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran lima juta ketibaan pelancong tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negeri ini merekodkan 4,972,000 ketibaan pelancong tahun lalu, sekali gus membuktikan momentum industri pelancongan yang semakin memberangsangkan.
Menurut beliau, sasaran lima juta pelancong bukan angka baharu, sebaliknya telah ditetapkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini semakin hampir menjadi realiti.
“Jika ada dua hari tambahan, mungkin kita sudah berjaya melepasi sasaran itu,” katanya secara berseloroh ketika ditemui media pada Rabu.
Beliau yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan tahun ini, didorong pelbagai faktor termasuk pengukuhan rangkaian penerbangan melalui Air Borneo, penganjuran Tahun Melawat Malaysia serta kalendar pelancongan yang padat dengan acara dan program di seluruh Sarawak.
Malah, sekiranya sasaran lima juta berjaya dicapai, beliau melihat potensi untuk meningkatkan unjuran kepada antara 5.2 juta hingga 5.5 juta ketibaan pelancong pada tahun hadapan.
“Saya amat gembira melihat industri pelancongan Sarawak yang semakin rancak dan berkembang secara positif,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyambut baik pembinaan hotel baharu di Gala City yang menawarkan lebih 200 bilik dan dijangka siap tahun hadapan, bertepatan dengan peranan Sarawak sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA.
Tahun lalu, industri pelancongan Sarawak menjana hasil penerimaan pelancongan berjumlah RM12.6 bilion, sekali gus mengukuhkan sektor ini sebagai antara penyumbang utama ekonomi negeri.
Rekod turut menunjukkan pelawat dari Brunei dan Indonesia mencatat jumlah ketibaan tertinggi, diikuti Singapura, Filipina dan China. – EDISI UKAS