Sarawak Energy Sumbang Mesin Hemodialisis Kepada Hospital Miri
MIRI: Sarawak Energy dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) telah menyumbangkan sebuah mesin hemodialisis kepada Hospital Miri bagi memperkukuh kapasiti hospital dalam memenuhi permintaan rawatan dialisis yang semakin meningkat di utara Sarawak.
Mesin tersebut telah diserahkan pada 7 Februari 2026 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sarawak Energy di bawah fokus Pelaburan Komuniti, iaitu Pembangunan Komuniti dan Keusahawanan, yang bertujuan meningkatkan akses kepada peralatan perubatan penting di fasiliti kesihatan awam seluruh Sarawak.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, manakala mesin berkenaan diterima oleh Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu.
Turut hadir ialah Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan serta Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Menurut Siti Aisah, bagi pesakit yang menjalani rawatan dialisis, akses kepada rawatan bukan sekadar melibatkan peralatan perubatan, malah menyentuh aspek kesinambungan rawatan, maruah dan kualiti hidup.
“Melalui sumbangan ini dan kerjasama bersama SABATI, kami berharap dapat meringankan beban pesakit serta petugas kesihatan, di samping memastikan perkhidmatan penting ini terus dapat diakses oleh komuniti di Miri dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, sumbangan kepada Hospital Miri merupakan sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM225,000 yang disalurkan oleh Sarawak Energy kepada SABATI bagi tujuan perolehan mesin hemodialisis untuk hospital-hospital di seluruh Sarawak.
Terdahulu, sumbangan mesin hemodialisis telah disalurkan kepada Hospital Lundu pada tahun 2025, manakala mesin tambahan dijadualkan untuk dihantar ke hospital di Mukah, Bintulu dan Sarikei dalam tempoh tahun ini.
Untuk rekod, kerjasama antara Sarawak Energy dan SABATI dalam bidang kesihatan telah bermula sejak Jun 2020 menerusi sumbangan mesin hemodialisis kepada Hospital Kapit dan Hospital Lawas.
Sejak itu, Sarawak Energy terus komited menyokong kemudahan perubatan di seluruh negeri melalui pelbagai inisiatif termasuk sumbangan mesin dialisis, mesin elektrokardiogram (ECG), ambulans, peralatan fundoskopi serta pembiayaan pembedahan katarak di Kapit, Mukah-Balingian, Sungai Asap Belaga, Murum dan Sri Aman.
Secara keseluruhannya, inisiatif sosial Sarawak Energy dipandu oleh empat fokus utama Pelaburan Komuniti, iaitu Pendidikan dan Golongan Muda, Pengurusan dan Pemuliharaan Alam Sekitar serta Pemeliharaan Budaya dan Warisan serta Pembangunan Komuniti dan Keusahawanan, sejajar dengan komitmen syarikat dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat Sarawak.-EDISI UKAS