Insiden Kebakaran Cetus Keperluan Percepat Pembinaan Balai Bomba Tebedu
TEBEDU: Insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Entubuh baru-baru ini menyentuh keprihatinan banyak pihak terhadap aspek keselamatan di kawasan tersebut, sekali gus mengangkat kembali keperluan pembinaan Balai Bomba Tebedu sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, walaupun kejadian itu merupakan kes pertama direkodkan dalam tempoh sedekad di kawasan berkenaan, namun kewujudan Balai Bomba di kawasan berkenaan tetap penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang lebih tersusun, khususnya ketika Tebedu sedang pesat membangun sebagai hab ekonomi baharu.
Menurutnya, pihak kerajaan komited memastikan kebajikan mangsa terus terbela apabila keluarga terjejas akan dibantu oleh Jawatankasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian serta Pejabat Daerah Tebedu bagi mendapatkan peruntukan pembinaan rumah baharu di bawah Bantuan Ehsan Bencana (Kebakaran).
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada Khamis sambil diiringi Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar bagi meninjau keadaan mangsa selain menyampaikan bantuan awal.
Dalam kejadian petang Rabu itu, sebuah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi rumah mengalami kerosakan dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Serian turut menyalurkan bantuan makanan kering, peralatan tidur serta bahan binaan kepada mangsa terlibat.
Dalam masa sama, Dr. Simon menegaskan cadangan pembinaan Balai Bomba Tebedu sebenarnya telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), namun sehingga kini masih belum direalisasikan.
“Ketiadaan Balai Bomba bukan sahaja meningkatkan risiko kepada komuniti setempat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di kawasan ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau akan membawa isu pembinaan Balai Bomba Tebedu ke perhatian kepimpinan tertinggi Sarawak serta kementerian berkaitan bagi memastikan projek berkenaan dapat dipercepatkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan.-EDISI UKAS