Bazar Ramadan Stutong Jadi Platform Perpaduan & Ekonomi Rakyat
KUCHING: Bazar Ramadan terus menjadi sebagai platform perpaduan masyarakat serta pemangkin ekonomi peniaga kecil.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland berkata bazar bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat Melayu, malah menarik kehadiran pengunjung pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat setempat.
Menurut beliau, penganjuran bazar Ramadan setiap tahun turut memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat, khususnya dalam membantu peniaga kecil dan usahawan mikro menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
“Bazar Ramadan bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi juga platform penting yang memberi peluang kepada peniaga kecil meningkatkan pendapatan, selain menghidupkan suasana sosial masyarakat,” katanya semasa merasmikan Bazar Ramadan Stutong, di sini pada Khamis.
Menurut Dr. Hazland, Bazar Ramadan Stutong merupakan antara bazar terbaik di Kuching dari segi pengurusan, kepelbagaian juadah, harga yang berpatutan serta tahap kebersihan yang tinggi.
Katanya, amalan menjaga kebersihan gerai, penggunaan peralatan bersih serta pengendalian makanan yang selamat adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Zaiedi Haji Suhaili, Pengerusi Pengelola Bazar Ramadan 2026, Othman Bujang dan Pemangku Setiausaha Bandaraya, Zuraida Idris.-EDISI UKAS