Skim Pinjaman Rumah Panjang Tingkat Kualiti Kehidupan Masyarakat Luar Bandar
SELANGAU: Kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus komitmen dalam meningkatkan kualiti kediaman masyarakat luar bandar apabila menyediakan skim Pinjaman Rumah Panjang berjumlah RM50,000 bagi setiap pintu khusus untuk penduduk yang ingin membina rumah panjang baharu atau membaiki kediaman sedia ada.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan rakyat di kawasan pedalaman menikmati kemudahan kediaman yang lebih selesa dan selamat, sejajar dengan agenda pembangunan inklusif negeri.
Menurut beliau, Parlimen Selangau merupakan kawasan yang sangat luas meliputi lebih 840 buah rumah panjang, justeru peruntukan pembangunan diagihkan secara berperingkat bagi memastikan setiap kawasan mendapat manfaat sewajarnya tanpa ada yang tercicir.
“Skim pinjaman RM50,000 bagi setiap pintu ini adalah antara usaha kerajaan GPS untuk membantu penduduk membina atau membaiki rumah panjang agar lebih selesa dan teratur.
“Kita faham cabaran yang dihadapi masyarakat luar bandar, sebab itu bantuan dan peruntukan disalurkan secara berperingkat supaya semua kawasan berpeluang menikmati pembangunan,” katanya ketika berucap pada program Pengerami Mangkung Tiang di Rumah Panjai, Beruroh 1, Sungai Bawang, di sini pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform penting untuk bertemu rakyat secara langsung serta mendengar sendiri permasalahan dan permohonan mereka.-EDISI UKAS