LIMBANG: Amalan silaturrahim yang kukuh dan berterusan menjadi teras penting dalam membina ummah yang bersatu, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang sarat dengan keberkatan serta tuntutan memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah menegaskan umat Islam perlu terus memelihara hubungan persaudaraan dan menjauhi sebarang perpecahan, sebaliknya memperkukuh perpaduan sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran semasa.
“Kita mesti menjaga ukhuwah dan mengelakkan sebarang persengketaan yang boleh meretakkan hubungan sesama kita. Ramadan adalah medan terbaik untuk kita merapatkan perpaduan dan silaturrahim supaya umat Islam sentiasa bersatu hati, bekerjasama dan hidup dalam suasana harmoni,” katanya ketika Majlis Penyerahan Cek Geran MRP dan Kurma Peringkat Daerah Limbang pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan meningkatkan amal ibadah, malah menjadi ruang membentuk kekuatan rohani dan disiplin diri yang mampu menyatukan masyarakat.
“Ramadan mendidik kita menjadi insan yang lebih sabar, berdisiplin dan kuat dari segi rohani. Jika kita kukuh secara spiritual, insya-Allah kita mampu menyatukan umat Islam dengan hati yang ikhlas dan niat yang murni,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 63 geran diagihkan membabitkan peruntukan keseluruhan RM262,000 kepada 53 surau dan 10 masjid di sekitar Daerah Limbang.
Setiap surau menerima RM4,000 manakala setiap masjid menerima RM5,000 bagi membantu mengimarahkan aktiviti sepanjang Ramadan.
Turut hadir wakil Residen Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, wakil Pegawai Daerah Limbang Hadiana Simatzaman, Pemanca Sahat Bagol serta Penghulu Jamil Bakar.-EDISI UKAS