Bazar Ramadan Satok Terus Jadi Tumpuan, Platform Usahawan Mikro Kembang Sayap Perniagaan
KUCHING: Aroma juadah berbuka puasa dan deretan gerai yang dipenuhi pelanggan menjadikan Bazar Ramadan Satok terus kekal sebagai antara lokasi tumpuan utama masyarakat di negeri ini setiap kali Ramadan.
Ini sekali gus menyediakan ruang kepada usahawan mikro menjana pendapatan serta mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi Abang Nur’afirddin Abang Norazman, yang mengusahakan hidangan ringan popia keju carbonara sejak 2018, beliau memilih berniaga di bazar tersebut kerana lokasinya yang sentiasa dikunjungi ramai, sekali gus memberi peluang untuk memperluaskan pasaran produknya.
“Kami berniaga di sini kerana ia adalah tempat tumpuan utama orang. Bagi orang yang tahu, sini adalah tempat tumpuan ramai,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada hari pertama operasi bazar berkenaan pada Khamis.
Abang Nur’afirddin turut menjelaskan, produk itu kekal dijual pada harga berpatutan walaupun proses penyediaannya mengambil masa lama, dengan persiapan bermula seawal jam 2.30 pagi bagi memastikan kualiti terjamin dan pelanggan berpuas hati.
Dalam pada itu, Mohammad Khusyri Zakaria yang menjual pelbagai jenis air balang berkata beliau mula berniaga sejak tahun lalu dan bersyukur kerana berpeluang berniaga di Bazar Ramadan Satok pada tahun ini.
“Saya mula meniaga dari tahun lepas dan Alhamdulillah tahun ini saya dapat bazar Satok ini,“ ujarnya.
Mohammad Khusyri turut bersyukur kerana menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan, khususnya di lokasi tersebut yang sememangnya terkenal dengan jumlah pengunjung yang tinggi setiap petang.
Sementara itu, Norfaizah Hasbolhi yang mengusahakan kuih keria resipi warisan keluarga berkata, penyertaan di Bazar Ramadan Satok merupakan pengalaman baharu buatnya yang membuka peluang memperluaskan pasaran kerana sebelum ini mereka hanya berniaga di pasar malam dan gerai tepi jalan.
“Saya mahu mencuba pengalaman baharu jual di bazar dan Alhamdulillah saya dapat di Satok ini,” katanya.–EDISI UKAS