Ziarah Tahun Baharu Cina Kukuhkan Perpaduan Masyarakat
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie semalam meluangkan masa memeriahkan Program Ziarah Tahun Baharu Cina 2026 dengan mengunjungi kediaman Ketua Masyarakat Cina Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng.
Ketibaan beliau disambut meriah dengan persembahan tarian singa serta tradisi membakar mercun di pekarangan kediaman sebagai simbolik menolak malang dan menjemput tuah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Dalam kunjungan tersebut, Doris turut menyertai acara menggaul Yee Sang bersama tuan rumah dan tetamu kehormat lain sebagai simbol kemakmuran serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sri Aman.
Selepas acara berkenaan, beliau bersama tetamu lain menikmati jamuan makan tengah hari sebelum berangkat pulang.
Menurut Doris, program kunjung-mengunjung seperti ini merupakan manifestasi keharmonian kaum yang kukuh di Sri Aman.
“Tradisi ini perlu diteruskan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat, sekali gus mengekalkan identiti perpaduan unik yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS