Komitmen Pembangunan Menyeluruh Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif demi kesejahteraan rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, tumpuan pembangunan bukan sahaja menjurus kepada pertumbuhan ekonomi, malah turut merangkumi aspek sosial dan pendidikan sebagai asas memperkasa komuniti secara holistik.
Beliau berkata demikian semasa program kunjungan Tahun Baharu Cina 2026 di Kampung Hulu, di sini pada Jumaat.
Program kunjungan itu bukan sekadar menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina dalam suasana muhibah, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan setempat.
Dalam majlis berkenaan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai mengumumkan peruntukan berjumlah RM15,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta keperluan komuniti setempat.
Menurutnya, penyediaan peruntukan tersebut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan kampung tidak terpinggir, selaras dengan aspirasi meningkatkan taraf hidup rakyat di semua peringkat.
Turut hadir Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging, Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Nasional Jampi Tutong serta tetamu lain. -EDISI UKAS