Semangat Muhibah Teras Keharmonian Masyarakat Sarawak
SIBU: Semangat perpaduan dan keharmonian yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan Sarawak perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, keunikan Sarawak terserlah melalui sikap saling menghormati dan bekerjasama antara komuniti, sekali gus membentuk suasana aman serta sejahtera yang dinikmati hari ini.
Menurut beliau, nilai kebersamaan dan toleransi yang diamalkan sejak sekian lama wajar dipertahankan agar keharmonian sosial terus kukuh demi kesejahteraan bersama.
“Di Sarawak, kita dapat melihat rakyatnya sangat bersatu. Perpaduan dan keharmonian ini mesti terus dipelihara.
“Kita tidak seharusnya membangkitkan isu-isu yang boleh menjejaskan hubungan baik antara masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi pemisah, sebaliknya diraikan secara matang dan berhemah demi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Tambahnya, budaya kunjung-mengunjung sempena musim perayaan merupakan platform terbaik untuk merapatkan silaturahim, memperkukuh persefahaman serta menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS