Ketua Kaum Perlu Bersedia Menerima Pendapat Rakyat
SRI AMAN: Ketua Kaum seperti Tuai Rumah dan Ketua Kampung harus bersedia menerima perubahan yang dibawa oleh rakyat pimpinan mereka dalam penempatan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, berkata rakyat pada masa sekarang banyak memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan jawatan besar dalam agensi kerajaan atau swasta dengan suara mereka perlu didengar oleh Ketua Kaum.
"Ketua Kaum tidak harus berkecil hati jika rakyat sentiasa menyuarakan bantahan terhadap dirinya ketika berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sehingga mereka disingkirkan secara diam-diam untuk menerima bantuan kerajaan.
"Apa yang rakyat itu lakukan bukanlah perbuatan jahat namun hasrat untuk melihat penempatan mereka menjadi lebih maju dan sentiasa mengikut arus pembangunan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan dan Perlanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam bidang kuasa Melugu - Dau Baruh dan Dau Atas di Rumah Panjang Entulang Danau, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, beliau turut menyeru agar Ketua Kaum tidak mensia-sia kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan Sarawak terhadap mereka dalam membantu membangunkan hidup rakyat masing-masing.
"Tanggungjawab ini adalah amat besar dan atas sebab itulah kerajaan Sarawak bertindak menaikkan elaun mereka agar golongan ini dapat melaksanakan amanah untuk menjaga kebajikan rakyat dan memajukan penempatan sendiri," katanya.
Datuk Mong pada majlis itu telah menyampaikan sijil perlanjutan Ketua Masyarakat kepada seorang Penghulu, sijil perlantikan Ketua Kaum baharu kepada empat Tuai Rumah, sijil perlanjutan kepada 37 Tuai Rumah dan sijil penghargaan kepada mantan KMKK.
Beliau pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada JKKK Rumah Noria Ampat, Entulang Danau bagi menyokong aktiviti rumah panjang mereka.
Hadir sama, wakil Residen Sri Aman Josephine Thomas, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan dan Ketua Masyarakat Iban Bahagian Sri Aman Temenggong Leonard Libau Anol. -EDISI UKAS