APM Samarahan Perhebat Rondaan Banjir, Penduduk Diminta Tingkatkan Kewaspadaan
KOTA SAMARAHAN: Hujan berterusan yang melanda daerah ini sejak awal pagi hari ini mendorong Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Samarahan mempergiat rondaan serta pemantauan di beberapa lokasi berisiko banjir.
Langkah proaktif tersebut diambil bagi memastikan situasi semasa sentiasa terkawal, sekali gus mengurangkan risiko kejadian tidak diingini susulan peningkatan paras air, khususnya di kawasan rendah.
Menurut kenyataan APM Samarahan, pemantauan tertumpu kepada kawasan penempatan penduduk, laluan utama serta kawasan rendah yang kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat berpanjangan.
“Rondaan dilaksanakan secara berkala bagi memantau paras air sungai dan sistem saliran. Setakat ini keadaan masih terkawal, namun penduduk dinasihatkan supaya terus berwaspada serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai terutama yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan tanah rendah diminta sentiasa memantau perkembangan cuaca serta segera melaporkan sebarang tanda peningkatan paras air kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, penduduk yang berdepan kecemasan boleh menghubungi APM Samarahan di talian 082-672999 atau talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan segera.
Kerjasama dan kepekaan masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan bersama terpelihara sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. -EDISI UKAS