Kesihatan Mental: Keutamaan Baharu Pembangunan Sosial di Sarawak
Pada masa dahulu ramai orang fikir kesihatan cuma pasal demam, batuk atau sakit badan. Tapi hari ini, makin ramai sedar bahawa kepala yang serabut, emosi yang penat dan jiwa yang tertekan juga adalah penyakit senyap yang boleh meruntuhkan semangat, keluarga dan komuniti. Kalau pembangunan fizikal ada jalan raya dan bangunan tinggi, pembangunan sosial pula bermula dari minda yang sihat dan jiwa yang tenang.
Di Sarawak, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian. Bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan remaja, malah kakitangan awam, guru, petugas kesihatan dan pekerja sektor swasta turut berdepan tekanan kerja, cabaran ekonomi serta perubahan gaya hidup. Dalam dunia yang makin laju, ramai individu penat mengejar prestasi hingga lupa menjaga emosi sendiri. Justeru, kesihatan mental kini bukan lagi isu individu semata-mata tetapi ia sudah menjadi agenda pembangunan sosial yang perlu ditangani secara menyeluruh oleh masyarakat dan Kerajaan Sarawak.
Realiti Kesihatan Mental di Sarawak
Faktor geografi yang luas, komuniti pedalaman yang terpencil serta kekangan akses kepada perkhidmatan sokongan psikologi menjadikan cabaran kesihatan mental di Sarawak agak unik. Ada individu yang berdepan tekanan kerja di bandar, ada juga yang mengalami kesunyian sosial di kawasan luar bandar. Tambahan pula, stigma masyarakat terhadap isu mental masih kuat kerana ramai yang takut dianggap lemah jika meminta bantuan tambahan kekurangan pengetahuan terhadap isu penyakit mental.
Di tempat kerja, tekanan KPI, beban tugas dan perubahan sistem digital boleh menyebabkan keletihan mental. Jika tidak diurus, prestasi kerja merosot, hubungan sosial menjadi tegang dan motivasi semakin menurun. Dalam komuniti pula, tekanan emosi boleh membawa kepada konflik keluarga, masalah rumah tangga, masalah disiplin remaja dan kesan domino kepada kestabilan sosial.
Kerajaan Sarawak boleh memainkan peranan besar melalui beberapa pendekatan strategik. Pertama, memperluaskan akses kaunseling komuniti. Ini bukan sekadar di buat di hospital, tetapi di sekolah, pejabat kerajaan dan pusat komuniti. Kedua, melatih pemimpin setempat seperti guru besar, ketua kampung dan pegawai masyarakat untuk menjadi mata dan telinga awal dalam mengenal pasti individu berpotensi bermasalah dan cenderung kemurungan yang memerlukan sokongan emosi dan spiritual melalui program pengesanan minda sihat.
Selain itu, kempen kesedaran secara santai dan dekat dengan budaya tempatan sangat penting. Program komuniti seperti sukan rakyat, seni budaya dan aktiviti sukarelawan boleh menjadi ruang terapi sosial yang membantu individu melepaskan tekanan secara sihat. Kerajaan juga boleh memperkenalkan polisi kesejahteraan mental di tempat kerja contohnya waktu kerja fleksibel, sokongan psikologi dalaman dan latihan pengurusan stres.
Kesan Terhadap Pembangunan Sosial
Kesihatan mental yang baik melahirkan masyarakat yang produktif, empati dan stabil. Apabila rakyat sihat dari segi emosi, mereka lebih kreatif dalam pekerjaan, lebih penyayang dalam keluarga dan lebih aktif dalam komuniti. Sebaliknya, jika masalah mental tidak ditangani, kesannya boleh dilihat pada peningkatan konflik sosial, prestasi kerja yang rendah dan kualiti hidup yang merosot.
Pembangunan sosial bukan sekadar membina kemudahan fizikal semata-mata tetapi membina manusia yang kuat dari dalaman. Sekolah yang menitikberatkan kesejahteraan mental melahirkan pelajar berkeyakinan. Tempat kerja yang menjaga emosi pekerja menghasilkan pekerja yang bersemangat sekaligus membina pasukan yang lebih inovatif. Komuniti yang saling menyokong pula menjadi benteng kepada masalah sosial yang lebih besar.
Kesihatan mental bukan isu kecil, bukan juga isu yang perlu disembunyikan dinbawah karpet kerana ia memalukan. Ia sebenarnya adalah asas kepada masa depan masyarakat Sarawak yang lebih sejahtera. Bila minda rakyat tenang, pembangunan sosial akan bergerak lebih laju dan bermakna. Jadi, mari kita ubah perspektif terhadap isu kesejahteraan dan kesihatan mental supaya dapat jaga emosi seperti kita menjaga tubuh. Kerana Sarawak yang kuat bukan hanya pada ekonominya, tetapi pada jiwa rakyatnya yang sihat dan saling menyokong.