Bayangkan sebuah bangunan yang kelihatan gah hebat dan cantik berseni di luar dengan catnya berkilat, reka bentuknya memukau. Namun hakikatnya, tiang bangunan itu reput dan asasnya tak kukuh dan ada keretakan sana sini. Maka lambat laun, bangunan itu akan mudah goyang, mendap dan akhirnya rebah dan runtuh. Begitulah analoginya jika kehidupan manusia tanpa amalan integriti. Nampak bukan main hebat di mata manusia, tetapi hakikatnya kosong nilai di sisi kebenaran.
Integriti bermaksud kejujuran, ketelusan dan keselarasan antara apa yang kita fikirkan, katakan dan lakukan. Ia bukan sekadar slogan yang digantung di dinding pejabat atau ditulis dalam buku peraturan. Integriti ialah disiplin dalaman yang memandu suara hati yang membimbing kita untuk melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.
Mengapa integriti penting dijadikan disiplin hidup? Ya, Intergriti sangat penting kerana hidup ini bukan tentang siapa yang paling bijak memanipulasi keadaan, tetapi siapa yang paling teguh memegang prinsip. Integriti menjadikan seseorang itu boleh dipercayai. Kepercayaan yang diperolehi pula adalah sesuatu yang paling bernilai dalam hubungan kita sesama manusia semasa menjalani kehidupan. Tanpa integriti, hubungan akan rapuh, organisasi akan goyah dan negara akan hilang arah tuju.
Dalam urusan sesama manusia, integriti membina kepercayaan dan rasa hormat. Seorang sahabat yang jujur akan dihargai. Seorang guru yang berintegriti akan disegani murid. Seorang pemimpin yang telus akan diyakini pengikutnya. Integriti mengelakkan salah faham, menghindari pengkhianatan dan menutup ruang fitnah. Apabila kita bercakap benar dan menepati janji, kita sedang menanam benih kepercayaan yang akan tumbuh subur dalam hubungan sosial dan semasa melaksanakan amanah yang diberikan.
Di tempat kerja pula, integriti menjadi asas profesionalisme. Pekerja yang berintegriti tidak mengambil kesempatan atas kelemahan sistem. Mereka tidak menyalahgunakan kuasa, masa atau sumber organisasi. Mereka bekerja bukan kerana takut kepada pengawasan, tetapi kerana sedar tanggungjawab itu adalah amanah dan mesti dilaksanakan atas dasar taat dan takut pada Allah. Integriti melahirkan budaya kerja yang sihat serta bebas rasuah, bebas manipulasi untuk mendapatkan keuntungan, bebas mendahulukan kepentingan peribadi yang melampaui batas.
Dalam pentadbiran negeri dan negara, integriti adalah nadi kestabilan. Tanpa integriti, dasar yang baik boleh disalah guna. Peruntukan yang sepatutnya sampai kepada rakyat boleh tiris di tengah jalan. Apabila integriti diketepikan, rasuah bermaharajalela, ketirisan berlaku, kepercayaan rakyat merosot. Kesannya bukan sahaja pada ekonomi, tetapi pada moral masyarakat. Rakyat menjadi sinis, hilang keyakinan, bahkan hilang harapan.
Sebaliknya, apabila integriti dijadikan budaya dan dianggap satu amanah yang dipikul, pentadbiran menjadi telus dan berakauntabiliti. Rakyat berasa dilindungi serta selamat. Pelabur yakin untuk melabur dalam pelbagai sektor. Generasi muda mempunyai contoh teladan yang jelas. Integriti bukan sahaja menjaga maruah individu, tetapi mempertahankan maruah bangsa dan negara.
Kesan jika integriti tidak diamalkan amat besar. Individu mungkin mendapat keuntungan jangka pendek, tetapi kehilangan maruah dan kepercayaan dalam jangka panjang. Organisasi mungkin nampak maju di atas kertas, tetapi reput di dalam. Negara mungkin membangun secara fizikal, tetapi runtuh dari segi nilai dan etika. Tanpa integriti, kita akan hidup dalam budaya saling curiga, budaya menyalahkan dan budaya mementingkan diri.
Integriti juga berkait rapat dengan keberkatan. Rezeki yang diperoleh dengan cara yang jujur memberi ketenangan jiwa. Kejayaan yang dicapai dengan usaha yang bersih memberi kepuasan yang tulen. Hidup mungkin tidak sentiasa mudah, tetapi hati akan tenang kerana kita tahu kita tidak mengkhianati amanah.
Akhirnya, integriti bukan pilihan yang boleh kita ambil atau tinggalkan sesuka hati. Ia adalah amanah. Amanah terhadap diri sendiri, keluarga, organisasi dan negara. Jangan tunggu berada di jawatan tinggi untuk bercakap tentang integriti. Mulakan dari perkara kecil seperti menepati masa, berkata benar, melaksanakan tugas dengan ikhlas.
Kerana apabila integriti menjadi budaya, kita bukan sahaja membina kejayaan, tetapi membina peradaban yang menjadi tunjang masyarakat madani. Dan percayalah, dunia mungkin memberi tepukan kepada kepintaran, tetapi sejarah hanya mengangkat mereka yang amanah dan berintegriti.