Program Ihsan Ramadan DUN Satok 2026 Santuni 30 Penerima
KUCHING: Program Ihsan Ramadan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok 2026 berjaya menyantuni seramai 30 penerima sempena bulan Ramadan tahun ini, melibatkan 15 penerima daripada perwakilan Ranting Kampung Masjid dan 15 lagi daripada perwakilan Ranting Bandarsah.
Program kebajikan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, yang menegaskan bahawa Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan merupakan usaha berterusan bagi mendekati rakyat serta membantu golongan yang memerlukan di seluruh kawasan DUN Satok.
Menurut beliau, inisiatif seumpama itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan masyarakat setempat, khususnya sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat Islam agar memperbanyakkan doa serta memohon kesejahteraan, keampunan dan keberkatan sepanjang Ramadan.
“Ramadan adalah bulan untuk kita memperkukuh ukhuwah, membantu golongan yang memerlukan dan memperbaiki diri agar menjadi masyarakat yang beradab serta saling menghormati,” katanya.
Program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN N8 Satok dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, di samping memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial dalam kalangan masyarakat. -EDISI UKAS