Bayaran Awal Zakat Fitrah Pastikan Senyuman Asnaf Terukir Sebelum Syawal
KUCHING: Ketika umat Islam menghitung hari menyambut Aidilfitri, kewajipan menunaikan zakat fitrah bukan sekadar tuntutan ibadah, tetapi menjadi 'jambatan' yang menghubungkan keprihatinan dengan harapan golongan asnaf.
Orang ramai digesa menunaikan zakat fitrah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan saat akhir, sekali gus memastikan proses agihan dapat disempurnakan dengan lancar sebelum Syawal menjelang tiba.
Bagi kebanyakan masyarakat, zakat fitrah membawa makna yang lebih mendalam, ia adalah simbol penyucian diri sepanjang Ramadan dan tanda tanggungjawab sosial terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Sebagai ketua keluarga, Naim Laud mengakui kewajipan tersebut tidak pernah dipandang ringan.
Menurutnya, beliau lebih selesa menunaikan zakat secara bersemuka kerana merasakan kaedah itu lebih bermakna dan memberi kepuasan tersendiri.
“Kalau saya lebih memilih cara untuk bayar bersemuka sebab zakat ni hanya bayar sebulan sekali. Berbanding dalam talian kurang sikit rasa kepuasannya,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Beliau yang lazimnya menunaikan zakat seminggu sebelum Hari Raya turut mengingatkan umat Islam agar tidak melupakan tanggungjawab itu, lebih-lebih lagi ketika persiapan Aidilfitri semakin memuncak.
Pandangan sama dikongsi Suraya Sahat yang turut memilih pembayaran secara bersemuka, walaupun mengakui kaedah tersebut bergantung kepada keadaan semasa.
Menurutnya, cabaran capaian internet menjadi antara faktor yang mendorong beliau memilih kaedah konvensional.
“Kadang-kadang liputan internet tidak berapa mengizinkan untuk membuat pembayaran. Liputan ada masalah,” ujarnya.
Tambahnya, pembayaran biasanya dilakukan sama ada pada awal Ramadan atau penghujung bulan puasa, bergantung kepada keadaan kewangan dan kelapangan masa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu hingga saat akhir.
“Saya menasihatkan orang ramai membayar awal untuk mengelakkan pembayaran lambat,” katanya lagi.
Sementara itu, Amil Zakat Abdullah Mohd Anis memaklumkan kadar zakat fitrah tahun ini kekal RM7.50 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.
Katanya, sambutan tahun ini menunjukkan peningkatan lebih awal berbanding tahun lalu apabila dua buku kutipan telah habis.
“Tahun ini ada sedikit cepat berbanding tahun sebelumnya dan kemungkinan minggu depan akan lebih ramai serta cepat lagi pembayarannya,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menyediakan wang secukupnya ketika hadir membuat bayaran bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Mengulas kaedah pembayaran, beliau menjelaskan bahawa pembayaran secara atas talian adalah sah dari segi hukum, namun kaedah bersemuka mempunyai nilai tambah tersendiri.
“Cara atas talian dari segi hukumnya sah, tapi dengan cara bersemuka ada doanya. Dengan cara begini sebenarnya lebih bagus lagi kerana ada keberkatannya berbanding cara atas talian,” katanya.
Secara keseluruhan, kesedaran masyarakat terhadap kewajipan menunaikan zakat fitrah dilihat semakin meningkat.
Pembayaran awal bukan sahaja memudahkan urusan pentadbiran, malah memberi ruang kepada golongan asnaf menerima bantuan lebih awal agar mereka juga dapat menyambut Aidilfitri dengan rasa gembira dan menikmati kemanisan Syawal. -EDISI UKAS