Kenyalang Smart City Lambang Perpaduan, Pacu Pembangunan Bandar Pintar Miri
MIRI: Sambutan Kenyalang Smart City Chinese New Year & Iftar Celebration yang berlangsung di tapak pembinaan Kenyalang Smart City mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat Sarawak yang unik.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran majlis yang menggabungkan dua perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina dan majlis berbuka puasa jelas menggambarkan nilai kebersamaan yang menjadi tunjang masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan baharu, keyakinan dan harapan, manakala Iftar mengingatkan kita tentang erti kesyukuran, kesabaran dan kebersamaan.
"Apabila nilai-nilai ini digabungkan, ia mencerminkan semangat Sarawak yang inklusif, mesra dan sentiasa memandang ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kenyalang Smart City Chinese New Year & Iftar Celebration di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, pembangunan Kenyalang Smart City bukan sekadar projek fizikal, malah merupakan usaha membentuk masa depan yang lebih mampan dan berkualiti untuk generasi akan datang.
Menurutnya, sesebuah bandar memerlukan sistem perhubungan dan mobiliti yang cekap sebagai asas kepada pembangunan lestari, sekali gus membuka peluang ekonomi serta merangsang pertumbuhan bandar.
Katanya, Miri yang terkenal sebagai bandar dinamik sejak era industri minyak dan gas kini terus melangkah ke hadapan melalui pembangunan bandar pintar yang lebih mesra rakyat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong pembangunan yang dirancang secara teliti, bertanggungjawab serta mengambil kira keperluan komuniti jangka panjang, termasuk aspek mobiliti, alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Hadir sama, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri, Ariffin Mohamad serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS