BINTANGOR: Amalan ziarah muhibah sempena Tahun Baharu Cina (TBC) bukan sekadar tradisi perayaan, malah menjadi platform menghargai jasa pemimpin komuniti serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, walaupun sebahagian individu yang diziarahi tidak lagi memegang jawatan rasmi, sumbangan dan komitmen mereka dalam menjaga kebajikan rakyat tetap dihargai dan dikenang.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan kestabilan serta keharmonian kawasan ini tidak boleh dilupakan. Kita perlu terus mengekalkan semangat kebersamaan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke beberapa kediaman pemimpin komuniti di kawasan Meradong sempena sambutan perayaan tersebut pada Jumaat.
Datuk Ding juga menekankan bahawa perpaduan, kerjasama serta sokongan berterusan daripada semua lapisan masyarakat amat penting dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kunjungan yang berlangsung dalam suasana harmoni itu turut menjadi medan perbincangan mengenai perkembangan semasa kawasan, keperluan rakyat serta perancangan masa hadapan bagi memastikan pembangunan setempat terus seiring dengan kemajuan negeri.-EDISI UKAS