Kerajaan Sarawak Perhebat Pembangunan dan Peluang Ekonomi di Lubok Antu
LUBOK ANTU: Usaha merancakkan pembangunan dan ekonomi setempat di kawasan luar bandar terus dipergiat apabila kerajaan Sarawak meluluskan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM500,000 bagi pembinaan Dewan Komuniti Cina Lubok Antu yang baharu, pada Jumaat.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh semasa kunjungan beliau ke Entugam, termasuk lawatan ke rumah Huang Tiong Sing serta kediaman Wong Hie Ing.
Menurut beliau, pembinaan dewan komuniti itu bukan sahaja menyediakan kemudahan sosial yang lebih selesa dan kondusif, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat melalui penganjuran program, majlis komuniti dan pelbagai aktiviti yang mampu menjana pendapatan penduduk.
“Selain berfungsi sebagai pusat aktiviti sosial dan kebudayaan, dewan ini boleh dimanfaatkan untuk program keusahawanan, latihan serta aktiviti yang menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM40,000 bagi memperkukuh pembangunan komuniti di Entugam.
Daripada jumlah tersebut, RM20,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Entugam bagi melaksanakan projek kemasyarakatan serta menaik taraf kemudahan asas yang dapat menyokong keselesaan dan produktiviti penduduk.
Selain itu, RM20,000 lagi diperuntukkan kepada Lubok Antu Charitable Trust Fund bagi membantu pelaksanaan program kebajikan dan komuniti, termasuk inisiatif yang mampu memperkasa kesejahteraan serta daya tahan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan luar bandar perlu digerakkan secara strategik dan inklusif supaya masyarakat di kawasan pedalaman dapat menikmati limpahan kemajuan serta peluang ekonomi yang lebih luas.
“Kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan kemudahan asas, malah memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan menilai sendiri potensi dan keperluan sebenar komuniti, sekali gus merangka inisiatif pembangunan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Kunjungan tersebut turut menjadi platform untuk mendengar pandangan penduduk berhubung peluang pembangunan dan ekonomi yang boleh diterokai di kawasan berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri II Malaysia Mikai Mandau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging, Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Nasional Jampi Tutong, Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri MINTRED Jack Meredan, Pemanca Garang Juben, KMKK DUN Batang Ai serta ahli-ahli MLDA. – EDISI UKAS