Program Badudun Ramadan Eratkan Silaturahim Pemimpin, Rakyat
LIMBANG: Program Badudun Ramadan terus menjadi platform signifikan dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat sejak diperkenalkan pada tahun 2006 dan diteruskan sehingga kini.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri ziarah ke masjid dan surau di sekitar Daerah Limbang sepanjang bulan Ramadan, dengan objektif memperkukuh silaturahim serta menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, semangat kebersamaan dan muafakat antara pemimpin dan rakyat amat penting dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif.
“Program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi jambatan penghubung antara pemimpin dan rakyat.
"Hubungan yang erat akan memudahkan penyampaian maklumat serta pelaksanaan inisiatif pembangunan,” katanya ketika berucap dalam program tersebut di Surau Nur Setia Hj Abdullah, Kampung Limpaong pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menambah, pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti memberi ruang untuk mendengar sendiri pandangan, cadangan serta keperluan masyarakat setempat.
Justeru, beliau berharap program seumpama ini diharapkan mampu menjadi medium berkesan untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan, sekali gus meningkatkan kefahaman rakyat terhadap usaha pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Bukit Kota.
Beliau turut menyeru institusi masjid dan surau juga diharap terus berperanan sebagai pusat penyatuan komuniti, bukan sahaja dari sudut ibadah, malah sebagai wadah perbincangan dan kerjasama dalam memajukan kesejahteraan masyarakat.
Dalam program yang sama, Datuk Dr Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.79 Bukit Kota kepada 10 orang asnaf di kampung berkenaan. -EDISI UKAS