Peniaga Bazaar Ramadan Diseru Utamakan Kebersihan & Kualiti Makanan
BINTULU: Peniaga Bazaar Ramadan diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan garis panduan bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang bulan luasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kebersihan gerai dan kualiti makanan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepercayaan masyarakat serta imej positif Bazaar Ramadan di daerah ini.
Menurut beliau, layanan mesra, kebersihan persekitaran dan harga berpatutan mampu memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan selain meningkatkan reputasi bazaar sebagai destinasi pilihan orang ramai.
“Saya ingin berpesan kepada semua peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan, memastikan kualiti makanan terjamin serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bazaar Ramadan 2026 di Taman Budaya, ParkCity Bintulu pada Jumaat.
Tambahnya, Bazaar Ramadan bukan sahaja menjadi lokasi membeli juadah berbuka puasa malah merupakan ruang kebersamaan komuniti yang perlu dijaga bersama oleh peniaga dan pengunjung.
Sehubungan itu, Iskandar turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan bazaar, mengelakkan pembaziran makanan serta mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan awam.
Penganjuran bazaar tahun ini oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) melibatkan 261 lot gerai di enam lokasi utama sekitar Bintulu dan Samalaju, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekonomi komuniti secara inklusif dan mampan.
Antara lokasi terlibat ialah Taman Budaya ParkCity, Pusat Komersial Medan Assyakirin, Pusat Komersial Kidurong, Tapak Menjaja E-Mart, Pusat Komersial Samalaju serta Parkir Press Metal Samalaju.
Sementara itu, Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, penganjuran bazaar kali ini selari dengan visi pembangunan bandar iaitu ‘Bintulu, as a model of inclusivity, livability and sustainability’ yang memberi penekanan kepada keseimbangan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Tambahnya, penganjuran tahun ini turut menekankan aspek kelestarian menerusi beberapa inisiatif hijau termasuk Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai, pengurangan penggunaan plastik sekali guna serta galakan penggunaan pembungkusan mesra alam.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asgar Khan, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah dan Penolong Pengurus Besar (Khidmat Environmen) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Bazar Ramadan 2026, Prie Nyangan.- EDISI UKAS