Kerajaan Sarawak Terus Pacu Pembangunan Luar Bandar
TATAU: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam merapatkan jurang pembangunan luar bandar terus diperkukuh apabila beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Kakus berjaya disiapkan sepenuhnya, sekali gus memberi nafas baharu kepada kehidupan masyarakat setempat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar memberi impak langsung terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pembangunan yang dirancang bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah dilaksanakan secara tersusun dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan dan kelangsungan ekonomi komuniti luar bandar.
“Projek ini bukan sekadar kemudahan fizikal, malah ia kritikal dalam meningkatkan tahap keselamatan serta melancarkan pergerakan harian penduduk untuk urusan ekonomi dan akses kepada kemudahan asas,” jelas beliau.
Dalam lawatan kerja rasmi di sekitar Tatau pada Sabtu, beliau meninjau kerja-kerja baik pulih Jambatan Nanga Sidang yang kini telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh penduduk setempat.
Dato Sri John Sikie menegaskan, pemantauan rapi akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap projek RTP berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan tanpa menjejaskan aspek kualiti dan piawaian pelaksanaan.
Hadir sama mengiringi lawatan tersebut ialah Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti. -EDISI UKAS