Rumah Terbuka TBC & Iftar Cerminkan Keharmonian Kaum di Sarawak
MIRI: Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) dan majlis berbuka puasa yang diadakan serentak mencerminkan keharmonian serta perpaduan kaum yang menjadi identiti rakyat Sarawak sejak sekian lama.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, masyarakat di negeri ini sentiasa mengamalkan budaya saling mengucapkan selamat serta bersama-sama menyertai sambutan perayaan masing-masing tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, sekali gus menjadikan nilai tersebut sebagai kebanggaan Sarawak.
“Kumpulan etnik kita melalui penganjuran rumah terbuka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara komuniti, malah terus mengukuhkan persefahaman dan kepercayaan antara kaum,” katanya ketika ditemui media pada majlis “Bersama Anda Meraikan Tahun Baharu Cina dan Berbuka Puasa” yang diadakan di Dewan Suarah Miri pada Sabtu.
Tambahnya, sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama saudara Muslim dalam suasana berbuka puasa jelas mempamerkan keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi identiti Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu menjelaskan, suasana saling menghormati dan bertukar-tukar ucapan perayaan itu merupakan nilai yang amat dibanggakan oleh negeri ini.
"Kepelbagaian budaya merupakan satu kelebihan penting bagi Sarawak kerana ia bukan sahaja memperkayakan kehidupan rakyat, malah membuka potensi besar kepada sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan.
"Sambutan perayaan, jelasnya, menjadi elemen penting dalam menarik pelancong, menampilkan keunikan budaya tempatan serta merancakkan ekonomi pelancongan negeri," ujar beliau. -EDISI UKAS