Kunjungan Datuk Amar Dr Sim Semarakkan Tahun Baharu Cina di Sri Aman
SRI AMAN: Sambutan Tahun Baharu Cina di Sri Aman terus meriah apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengadakan kunjungan ke kediaman Ketua Masyarakat Komuniti Cina Bahagian Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng, semalam.
Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam Sarawak, sebelum itu merasmikan Majlis Rumah Terbuka yang dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan naga oleh Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman.
Beliau turut menurunkan tandatangan pada patung singa serta menyempurnakan upacara membakar mercun sebagai simbol doa kesejahteraan dan harapan baharu.
Menurut Temenggong Kueh Aik Seng, kunjungan tersebut memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta menjadi lambang perpaduan yang terus subur di Sri Aman.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang.-EDISI UKAS