Pembangunan Infrastruktur & Kebajikan Terus Diperkasa Di Kampung Gumpey
GEDONG: Pelbagai projek infrastruktur dan kebajikan dilaksanakan di Kampung Gumpey bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, antaranya ialah projek naik taraf Dewan Masyarakat bernilai RM100,000 di bawah TPM 2025 yang kini menunggu pemeriksaan akhir, selain pembekalan kanopi ke Masjid Darul Iman (RM14,000) dan naik taraf jeti tanah perkuburan Islam (RM50,000) yang telah siap.
Sebanyak 20 unit lampu solar turut dipasang menerusi peruntukan PBT berjumlah RM300,000 bagi meningkatkan keselamatan kampung.
Dalam Program Santuni Rakyat Mengimarahkan Ramadan, Rodiyah menyalurkan dana tahunan RM84,000 kepada masjid, surau dan madrasah di Gedong serta menyampaikan bantuan makanan dan tunai kepada 20 penerima.
Pada masa sama, projek pembinaan masjid baharu bernilai RM4.23 juta di bawah dana negeri melalui Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang dilaksanakan JKR telah siap sepenuhnya pada 29 Januari 2026. –EDISI UKAS