100 Asnaf, Saudara Baharu Terima Bantuan Harapan Ramadan Di Simunjan
SIMUNJAN: Bulan Ramadan terus dimanfaatkan sebagai medan menyemai nilai kesabaran, kesyukuran dan keprihatinan apabila seramai 100 asnaf serta saudara baharu dari 14 kampung sekitar daerah ini menerima sumbangan menerusi Program Harapan Ramadan.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris di Masjid Darul Hijrah pada Ahad.
Menurut Awla, bantuan tersebut merupakan hasil sumbangan dana daripada CIMB Islamic, manakala YADIM Sarawak bertindak sebagai penyelaras bagi memastikan agihan sampai kepada golongan sasaran secara tersusun dan menyeluruh.
Setiap keluarga penerima menerima barangan dapur bernilai RM150 bagi membantu meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan.
Beliau menegaskan bahawa Ramadan bukan sekadar ibadah, malah bulan yang mendidik umat Islam dengan sifat rahmah dan empati terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Ramadan adalah bulan yang mendidik kita dengan sifat rahmah dan empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Inilah masa terbaik untuk kita memperkukuh nilai kebersamaan dan saling membantu,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Tambah beliau, pemilihan Daerah Simunjan sebagai lokasi program amat signifikan kerana ia merupakan destinasi keenam dan terakhir bagi pelaksanaan Program Harapan Ramadan peringkat Sarawak tahun ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap bantuan yang dihulurkan, walaupun sederhana, mampu memberi kesan besar kepada keluarga penerima, khususnya menjelang Aidilfitri.
“Sumbangan ini mungkin tidak besar nilainya, namun cukup bermakna dalam membantu meringankan perbelanjaan keluarga sepanjang Ramadan dan persiapan Syawal,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Awla melalui Pusat Khidmat ADUN Simunjan turut mengagihkan 200 pek bubur lambuk bersama kurma dan biskut kepada para penerima serta hadirin sebagai simbolik semangat kebersamaan dan usaha mengimarahkan Ramadan di peringkat komuniti.
Hadir sama, Pengarah YADIM Sarawak Awang Dulhadi Awang Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah Azman Mut. -EDISI UKAS