Bazar Ramadan Simunjan 2026 Meriah, Platform Ekonomi & Silaturahim Komuniti
SIMUNJAN: Bazar Ramadan di sini tampil lebih meriah, sekaligus menjadi pelatform peniaga kecil menjana ekonomi mereka di samping mengeratkan lagi silaturahim komuniti sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, berkata bazar Ramadan bukan sahaja menjadi platform penting untuk menjana pendapatan usahawan kecil dan peniaga tempatan, malah berperanan sebagai ruang sosial yang mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat berniaga, tetapi medan memperkukuh ukhuwah serta menyokong ekonomi komuniti setempat.
“Saya berharap para peniaga sentiasa menjaga kebersihan, kualiti makanan dan menawarkan harga berpatutan demi kesejahteraan pengguna sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Ahad.
Sebagai tanda sokongan kepada usahawan kecil, beliau turut menyampaikan apron kepada para peniaga sebagai simbol komitmen terhadap kebersihan, penampilan profesional dan keyakinan pelanggan terhadap gerai masing-masing.
Majlis turut dimeriahkan dengan sesi lawatan ke gerai jualan serta interaksi mesra antara pemimpin, peniaga dan pengunjung, sekali gus menghidupkan suasana kebersamaan dalam komuniti.
Tambah istimewa, program memasak dan pengagihan 1,000 pek bubur lambuk hasil kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan berjaya menarik perhatian pengunjung.
Agihan kurma turut diadakan sebagai simbolik menyambut Ramadan serta menghidupkan tradisi dan amalan sunnah.
Bazar Ramadan Simunjan tahun ini menghimpunkan 42 peniaga yang menawarkan pelbagai juadah tradisional dan moden, menjadikannya lokasi utama penduduk setempat mendapatkan hidangan berbuka puasa.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak, wakil Pegawai Daerah Simunjan Malisa Basmawi dan Timbalan Pengerusi MDS Kr Mohamad Zaini Morshidi. -EDISI UKAS