Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Isteri Berangkat ke Majlis Bersungkei di Surau Astana Negeri
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berangkat ke Majlis Bersungkei yang berlangsung di Dewan Santapan, Surau Astana Negeri, pada Sabtu sebagai manifestasi komitmen kepimpinan negeri dalam menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh ukhuwah sepanjang Ramadan.
Keberangkatan tiba Tun dan Toh Puan disambut oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie bersama kakitangan Astana Negeri Sarawak.
Majlis dimulakan dengan iftar ringan sebelum para hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Seterusnya, Tun dan Toh Puan bersama jemputan menikmati jamuan makan malam dalam suasana penuh harmoni di Dewan Santapan.
Program diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Awang Mohamad Safwan Awang Sefari, melibatkan jemaah jemputan dari kawasan DUN N.16 Muara Tuang dan DUN N.17 Stakan.
Seusai solat, Tun dan Toh Puan berkenan menyertai sesi moreh bersama para hadirin, sekali gus mempererat silaturahim antara kepimpinan negeri dan masyarakat setempat.
Keberangkatan ini mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan Institusi Yang di-Pertua Negeri terhadap penganjuran program keagamaan yang menjadi wahana memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat kebersamaan serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan umat Islam di negeri ini sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta isteri, Ketua Hakim Syarie, Datu Awang Suhaili Ledi, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Mual Suaud serta isteri dan Datu Abdul Hadi Abdul Kadir bersama isteri.-EDISI UKAS