SKAS Suntik Kelegaan, Ringankan Beban Rakyat Hadapi Kos Sara Hidup
KUCHING: Di saat harga barangan keperluan harian terus meningkat dan musim persekolahan bersilih ganti dengan musim perayaan, inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tampil sebagai sinar kelegaan buat rakyat negeri ini.
Bagi suri rumah, Sharifah Hayati Tuanku Ali, 50, bantuan tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya membawa makna besar dalam mengurus perbelanjaan keluarga.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Kerajaan Sarawak atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat.
“Alhamdulillah dan syukur, ribuan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas pemberian SKAS ini.
“Bantuan ini serba sedikit membantu, lebih-lebih lagi apabila musim persekolahan dan musim perayaan jaraknya agak dekat. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaan dan meringankan beban ahli keluarga,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahad.
Bagi Devonshire Sikem, 46, SKAS dilihat sebagai suntikan moral dan sokongan nyata kepada rakyat dalam mendepani tekanan kos kehidupan harian.
Menurutnya, nilai bantuan itu tidak harus dinilai semata-mata pada jumlah yang diterima, tetapi pada kesannya terhadap kelangsungan perbelanjaan keluarga.
“Kita jangan lihat dari segi jumlah semata-mata, tetapi bagaimana duit itu digunakan untuk membantu kita. Bila diurus dengan baik, ia benar-benar meringankan,” jelasnya.
Beliau optimis inisiatif berkenaan akan terus memberi impak positif dan menyeluruh kepada rakyat pelbagai lapisan, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Sementara itu, Nur Ilya Natasa, 20, menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu kelegaan bermakna dalam keadaan harga barangan yang semakin meningkat.
“Saya rasa lega dan bersyukur kerana bantuan ini dapat meringankan sebahagian kos hidup. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya ia membantu merancang kewangan bulanan dengan lebih baik,” katanya.
Bagi Saftuyah Bujang, 51, yang turut menerima bantuan sama tahun lalu, beliau berharap agihan SKAS dapat diteruskan secara konsisten dan tepat pada masanya, khususnya menjelang Aidilfitri, agar persiapan keluarga dapat dibuat dengan lebih terancang.
“Kalau dapat sebelum raya, memang sangat membantu. Keperluan seperti baju raya, bahan untuk juadah dan barang-barang mentah semuanya memerlukan perbelanjaan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, SKAS bukan sahaja mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh agenda kebajikan, malah memperlihatkan kepekaan terhadap denyut nadi rakyat yang sedang berusaha menyeimbangkan pendapatan dan perbelanjaan dalam landskap ekonomi semasa. –EDISI UKAS