Bank Darah Hospital Miri Sasar 10,000 Penderma Tahun Ini, Darah O dan B Diperlukan
MIRI: Bank Darah Hospital Miri menyasarkan untuk mencapai 10,000 penderma darah sepanjang tahun ini bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, khususnya bagi kumpulan darah O dan B yang kini amat diperlukan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, sebanyak 9,557 penderma darah berjaya direkodkan pada tahun 2025, dengan 1,605 daripadanya merupakan penderma kali pertama.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 3,626 adalah penderma wanita. Ini menunjukkan aktiviti pendermaan darah mendapat sokongan meluas daripada pelbagai golongan tanpa mengira jantina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kempen Derma Darah “A Gift of Life” 2026 yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Boulevard, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, sehingga kini Bank Darah Hospital Miri mempunyai seramai 6,711 penderma aktif berdaftar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan masyarakat dalam menyokong usaha pendermaan darah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa bekalan darah kumpulan O dan B berada pada tahap yang memerlukan perhatian segera, justeru orang ramai yang mempunyai kumpulan darah tersebut digesa tampil menyumbang.
Tambahnya, bagi memastikan bekalan darah kekal stabil, pelbagai kempen derma darah bergerak terus giat dianjurkan dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
“Pada Januari tahun ini sahaja, sebanyak 828 penderma berjaya direkodkan, sekali gus menjadi permulaan positif ke arah mencapai sasaran tahunan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendermaan darah merupakan satu sumbangan penting yang mampu menyelamatkan nyawa, selain tidak boleh digantikan dengan sebarang penghasilan di makmal.
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai individu, syarikat serta pertubuhan untuk tampil menyokong aktiviti pendermaan darah secara sukarela sebagai tanggungjawab bersama dalam memelihara kesihatan awam.-EDISI UKAS