Projek Bina Jalan Melekun ke SK Nanga Kebiau, Sut Bakal Dilaksanakan
KAPIT: Projek Pembinaan Jalan Melekun ke SK Nanga Kebiau, Sut (Fasa 1) yang menelan kos keseluruhan RM83 juta bakal dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan akses dan merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah bersetuju untuk melaksanakan projek tersebut dengan tempoh pelaksanaan selama 156 minggu.
“Projek Pembinaan Jalan Melekun ke SK Nanga Kebiau, Sut (Fasa 1) dengan kos keseluruhan sebanyak RM83 juta dan tempoh pelaksanaan selama 156 minggu dijangka memberi impak positif terhadap kemudahan akses serta merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kaya, Nanga Luba, Sut pada Ahad.
Dalam majlis sama, Wilson turut mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM24,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kaya serta RM3,000 kepada Biro Wanita JKKK Rumah Kaya.
Selain itu, enam Biro Wanita yang hadir menerima RM3,000 setiap satu, manakala 19 rumah panjang di kawasan Sut masing-masing menerima RM5,000.-EDISI UKAS