SARIKEI: Perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan serta kelangsungan pembangunan di Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, keharmonian yang dinikmati hari ini perlu terus dipelihara melalui kerjasama erat antara rakyat dan kepimpinan.
“Perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum adalah kekuatan utama kita. Tanpa kestabilan dan kerjasama semua pihak, usaha pembangunan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei pada Sabtu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu, persatuan tersebut sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam menyatupadukan pertubuhan-pertubuhan Cina serta menyumbang secara aktif dalam pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan masyarakat setempat.
Dato’ Sri Huang turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin masyarakat dan wakil rakyat telah membolehkan pelbagai peruntukan disalurkan bagi menaiktaraf infrastruktur, kemudahan sekolah serta pembangunan ekonomi dan keagamaan di Sarikei dan Meradong.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas sokongan terhadap pelaksanaan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan Sarikei ke Tanjung Manis yang telah siap dan dibuka kepada orang ramai.
“Projek ini bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pembangunan untuk rakyat di Sarikei serta kawasan sekitarnya,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, Dato’ Sri Huang turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei sebagai tanda sokongan terhadap peranan aktif persatuan itu dalam pembangunan masyarakat.-EDISI UKAS