Pendekatan Turun Padang Secara Bersemuka Tangani Isu Secara Holistik
SIBU: Pendekatan turun padang secara bersemuka membolehkan setiap isu yang dibangkitkan dinilai dengan lebih menyeluruh, khususnya perkara melibatkan keperluan asas dan pembangunan setempat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing menegaskan tindakan susulan akan diambil segera dengan mengarahkan pasukan beliau meneliti isu yang dibangkitkan berdasarkan keutamaan dan keadaan sebenar di lapangan.
“Saya memberi jaminan bahawa setiap aduan akan diperhalusi dan diambil tindakan sewajarnya. Komitmen kita terhadap kebajikan rakyat tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan dikemukakan oleh penduduk setempat berhubung keadaan jalan yang menjejaskan operasi perniagaan serta kesulitan harian yang dihadapi mereka semasa kunjungan sempena Tahun Baharu Cina 2026 pada Ahad.
Siri kunjungan sempena Tahun Baharu Cina 2026 Dato Sri Tiong di sekitar Sibu melabuhkan tirainya semalam, selepas beliau menziarahi lebih 20 kediaman termasuk rumah ketua masyarakat serta penduduk setempat.
Beliau berkata, suasana perayaan merupakan waktu terbaik untuk mendekati rakyat secara lebih santai namun bermakna.
“Musim perayaan merupakan kesempatan terbaik untuk kita memperkukuh silaturahim serta mendekati rakyat dalam suasana yang lebih santai namun bermakna.
“Dalam ruang sebegini, saya dapat mendengar sendiri pandangan dan cadangan secara terus daripada masyarakat,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut merakamkan penghargaan atas sambutan serta kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat sepanjang siri kunjungan tersebut, serta menegaskan komitmen untuk terus berkhidmat dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat di Sibu.-EDISI UKAS