DARO: Sebuah dewan pelbagai guna bernilai RM5 juta akan dibina bersebelahan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Al-Syafie Daro bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menyokong aktiviti pusat berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, dewan tersebut akan dilengkapi dua gelanggang badminton, manakala tingkat atas akan menempatkan beberapa bilik yang boleh digunakan sebagai madrasah, kelas mengaji serta kegunaan komuniti yang bersesuaian.
“Pembinaan dewan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat setempat.
“Kedudukannya yang bersebelahan PPDK juga membolehkan pelatih memanfaatkan kemudahan ini untuk pelbagai aktiviti,” katanya semasa berucap pada Majlis Kesyukuran dan Iftar Ramadan PPDK Al-Syafie Daro pada Ahad.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas genap setahun PPDK Al-Syafie Daro beroperasi di premis baharu sejak dirasmikan pada 22 Februari 2025.
Dr. Safiee turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan, tenaga pengajar serta semua pihak yang komited dalam memastikan kebajikan dan pembangunan pelatih terus diberi perhatian.
Beliau menegaskan bahawa PPDK Al-Syafie Daro memainkan peranan penting dalam membimbing dan mendidik insan istimewa agar mampu berdikari serta menjadi anggota masyarakat yang berdaya saing.
Dalam majlis tersebut, Dr. Safiee turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan buah kurma kepada 30 orang pelatih PPDK Al-Syafie Daro sebagai persediaan menyambut Syawal.
Beliau juga mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada PPDK Al-Syafie Daro serta RM5,000 bagi penganjuran majlis berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM10,000.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Pengerusi PPDK Al-Syafie Daro Mohd Faizal Jamiludin, Pegawai Agama Islam Daerah Daro Anas Sarip, serta Jurutera JKR Daro Faizol Hashim.-EDISI UKAS